mutakhir

[UPDATE] Anak tiri CEO direman tujuh hari

Oleh Fazrik Kamarudin dan Nurul Hidayah Bahaudin

DUA anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran Jun lalu, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, permohonan reman terhadap remaja berusia 16 dan 14 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

"Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 September ini bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedua-dua remaja itu ditahan di rumah datuknya di Taman Tun Dr Ismail, kira-kira 4 petang semalam.

Polis juga akan memohon untuk menyambung tempoh tahanan reman ibu mereka, esok.

Pada 4 September lalu, polis menahan isteri Nazrin dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan namun bekas suami dibebaskan tiga hari kemudian.

Dalam tragedi 14 Jun itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Berita berkaitan:

Dua anak tiri CEO ditahan

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 3:28pm
d