mutakhir

TMJ dakwa media sosialnya, Sultan Johor diintip

Oleh Hasbi Sidek

TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa media sosial milik beliau dan ayahandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar diintip individu tertentu menggunakan teknologi buatan Israel.

Perkara itu didedahkan di laman Facebook (FB) HRH Crown Prince of Johor, malam semalam yang turut mendakwa ramai ‘cyber troopers’ diletakkan di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tunku Ismail berkata, alat berkenaan yang dimiliki kerajaan digunakan untuk tujuan pengintipan dan mengumpul data selain digunakan sebelum pilihan raya bagi membantu dalam perang siber.

“Beberapa pegawai kerajaan berjumpa saya menyatakan bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Cawangan Khas (SB), SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini.

“Bila berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng mana- mana pihak untuk kepentingan sendiri.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Johor sedang diperhatikan.

“Ramai juga ‘cyber troopers’ diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” katanya.

Menurut beliau, teknologi berkenaan digunakan kerajaan sebelum ini, namun tidak sepatutnya berlaku dalam era Malaysia Baharu.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan kerajaan yang memerintah dan sentiasa memberikan sokongan.

“Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti (politik) yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini.

“Biar saya jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan. Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah. “Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.

“Satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji-janji kepada rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 5:59pm
d