mutakhir

Parah jatuh siling tangkap burung

Oleh Faliq Lajim

DUA kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari siling tangki air ketika cuba menangkap burung merpati di Pangsapuri Seri Proton, Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia lapan dan 11 tahun itu dipercayai terjatuh selepas siling di tingkat lapan pecah sebelum terjatuh ke atas tangga di tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit pergi menangkap burung di tingkat lapan di pangsapuri berkenaan.

“Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu kemudian memanjat tangki air di atas bangunan pangsapuri itu.

“Namun, mereka terpijak papan siling lalu terjatuh ke tangga tingkat lapan di pangsapuri berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kedua-dua kanak kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.

“Terdapat kesan kecederaan pada kepala kedua-dua mangsa dan kini sedang menunggu pemeriksaan imbasan X-ray. Keadaan kanak-kanak terbabit kini dalam pemerhatian doktor di zon kecemasan,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 6:33pm
d