mutakhir

[UPDATE] Polis buka kertas siasatan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung kes lelaki merakam video melalui bawah skirt petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Akta 336)," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video itu memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azrizal Khairul Abd Kadir di talian 019-2769117 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482233," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menerusi laman Facebook memaklumkan beliau memecat seorang pegawainya susulan lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an didakwa merakam video melalui bawah skirt seorang petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, di sini, Sabtu lalu.

Terdahulu, seorang petugas wanita di kedai cermin mata terbabit membuat laporan di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, selepas menyedari lelaki dipercayai pegawai kepada Azis Jamman merakam video bahagian bawah skirtnya dalam kejadian kira-kira 11 pagi.

Malah, video perbuatan keji lelaki yang merakam bahagian bawah skirt wanita berusia 30 berkenaan selama 1 minit 46 saat itu turut di muat naik dalam laman sosial Facebook.

Ketika kejadian, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khee, 30, memaklumkan insiden itu berlaku ketika dia sedang membuat pemeriksaan mata timbalan menteri berkenaan sebelum menyedari tindakan lelaki terbabit mengubah kedudukan kerusi dan duduk rapat menghamipirinya di bahagian belakang sambil memegang telefon bimbit.

Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati lelaki itu merakam bahagian dari bawah skirt wanita terbabit.

Berita berkaitan:

Azis pecat pegawai 'skodeng' skirt wanita

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 1:17pm
d