mutakhir

'Ini tak betul'

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

AHLI Parlimen Nibong Tebal daripada PKR, Datuk Mansor Othman menafikan dakwaan beliau akan mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, tiada sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas PKR selain menyifatkannya sebagai spekulasi.

“Ini tak betul, saya tak ada dengar pun dan tak tahu apa-apa pun mengenai perkara ini. Bagaimana boleh wujud dakwaan seperti ini sedangkan tuan badan pun tak tahu apa-apa.

“Saya tak tahu daripada mana kamu (pengamal media) dengar perkara ini, tetapi saya yang berada dalam Biro Politik PKR pun tak pernah dengar ia dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat parti.

“Justeru, saya rasa dakwaan ini tak akan menjadi realiti dan sekali lagi saya ulangi bahawa dakwaan ini tidak betul,” katanya ketika dihubungi NSTP di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pihaknya akan mengosongkan kerusi Parlimen Nibong Tebal untuk memberi laluan kepada Anwar yang juga Ketua Umum PKR bertanding dalam tempoh terdekat ini.

Dalam pada itu, Mansor turut menafikan beliau ditawar jawatan Yang di-Pertua Pulau Pinang, jika bersetuju mengosongkan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Bagaimana saya boleh ditawarkan jawatan berkenaan jika saya sendiri tidak tahu apa-apa mengenai dakwaan ini,” katanya.

Kini jawatan Yang di-Pertua Pulau Pinang disandang oleh Tun Abdul Rahman Abbas yang dilantik bagi penggal ketujuh untuk tempoh empat tahun, mulai 1 Mei 2017.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 2:17pm
d