mutakhir

Kongsi rezeki nasi ayam RM1

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“Saya hanya mahu berbahagi (berkongsi) rezeki,” kata Pengurus Cemara Urban Restaurant, Norhidayat Jamal, 30, yang tular menjual nasi ayam RM1.

Katanya, idea menjual nasi ayam itu mendapat sambutan menggalakkan dengan 80 peratus daripada pelanggannya membabitkan pelajar di kawasan Seri Alam.

Menurutnya, promosi yang dilakukan pada Mac lalu diteruskan bermula hari ini mengambil kira sasaran pelanggan, pasaran dan persediaan.

“Dulu kami pernah mengadakan promosi seperti ini dan kami terpanggil untuk berkongsi rezeki kepada golongan kurang berkemampuan pada harga tak masuk akal ini.

“Saya ada formula tersendiri bagi memastikan harga nasi ayam masih menguntungkan,” katanya dihubungi bagi berkongsi tular nasi ayam RM1 di media sosial hari ini.

Berdasarkan tular itu, restoran di Seri Alam menjual nasi ayam berharga RM1 dan hanya dihadkan kepada 500 pelanggan dengan operasi bermula 11 pagi hingga 1 pagi.

Katanya, hidangan nasi ayam berharga RM1 itu hanya untuk pelanggan yang makan di restoran saja manakala harga bagi nasi ayam dibungkus RM6.

“Jarang orang bungkus kerana harganya lebih berbaloi jika makan di sini. Makan dua pinggan bersamaan dengan satu hidangan biasa bagi sepinggan nasi ayam dan jarang pelanggan tambah pinggan ketiga kerana dua pinggan sudah mengenyangkan,” katanya.

Katanya, dia sedikitpun tidak pernah mengurangkan rasa nasi ayam atau bahan-bahan terkandung di dalamnya.

“Apa yang saya buat ini dengan tawaran harga rendah kerana merasakan sudah tiba masanya kami memberi selepas 13 tahun dalam bidang ini,” katanya yang mempunyai restoran berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL).

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 6:00pm
d