mutakhir

[UPDATE] Dua beradik jatuh siling, stabil

Oleh Iskandar Shah Mohamed

DUA beradik yang parah selepas terjatuh dari siling tangki air ketika cuba menangkap merpati di Pangsapuri Seri Proton, Kampung Jawa, Klang, semalam dilaporkan dalam keadaan stabil, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 11 tahun itu sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Ketika dihantar ke hospital semalam, kedua-dua mangsa pengsan selepas terjatuh dari siling di pangsapuri itu.

“Namun kita menerima laporan pagi tadi bahawa mereka sudah sedarkan diri dan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, laporan perubatan menunjukkan seorang daripada mangsa retak tulang pinggul dan pendarahan dalam kepala.

“Doktor pakar akan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua mangsa bagi mengesan kecederaan lain yang mungkin dialami,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, dua kanak-kanak terbabit parah selepas siling di tingkat lapan pangsapuri itu pecah sebelum terjatuh ke tangga di tingkat terbabit.

Siasatan awal polis mendapati mereka pergi menangkap burung di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa memanjat tangki air di atas bangunan pangsapuri itu namun mereka terpijak papan siling sebelum terjatuh ke ruang tangga.

Berita berkaitan:

Parah jatuh siling tangkap burung

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 6:50pm
d