mutakhir

Nafi bas dipandu lebih had laju

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SYARIKAT Ekspres Perdana menafikan bas milik mereka yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah, Perak pada 2 September lalu, dipandu melebihi had laju.

Pengurus Urusannya, Laili Ismail berkata, hasil pemeriksaan dengan alat pengesan had laju mendapati bas berkenaan dipandu dengan kelajuan 81 km sejam ketika kemalangan maut itu.

Katanya, dalam kejadian 5 pagi itu, dua mangsa yang maut iaitu pemandu, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaluddin, 20, selepas bas itu merempuh penghadang jalan yang diletakkan secara sementara sehingga batu berkenaan menghimpit mangsa.

“Saya ingin tegaskan di sini, kesemua lebih 80 bas kami dilengkapi dengan alat pengesan had laju yang mampu mengehadkan kelajuan tidak melebihi 90 km per jam.

“Pihak kami amat menekankan aspek keselamatan terutama daripada segi penyediaan bas dan pemilihan pemandu. Kesemua bas kami berjenama SCANIA iaitu jenama yang diyakini terbaik di dunia dengan teknologi tinggi.

“Had penggunaan bas juga dipastikan tidak melebihi lima tahun bagi memelihara keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 2 September lalu, dua maut manakala 15 penumpang cedera selepas bas ekspres berkenaan merempuh pembahagi jalan.

Mengulas lanjut, Laili berkata, pihak berkenaan tidak sepatutnya meletakkan penghadang jalan jenis batu di lokasi berkenaan, sebaliknya meletakkan penghadang jalan jenis plastik supaya tidak membahayakan pengguna.

“Kejadian berkenaan berlaku 5 pagi dan kawasan itu agak gelap. Malah jalan berkenaan yang sepatutnya dua lorong menjadi satu lorong serta penghadang jalan berwarna hitam dan putih itu agak membahayakan.

“Siapa sangka batu penghadang jalan itu masuk ke dalam bas sehingga menghimpit penumpang yang duduk di kerusi belakang sekali. Kami amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan ini adalah kemalangan nyawa kali pertama dan terburuk sepanjang sembilan tahun kami beroperasi.

“Namun kami tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan sepanjang tempoh beroperasi kerana kita sentiasa menekankan ciri-ciri keselamatan termasuk pemilihan pemandu yang berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut akan menerima insurans sebanyak RM10,000 dan pihak syarikat juga melawat kesemua mangsa yang cedera selain mengadakan tahlil untuk mereka yang meninggal dunia.

Berita berkaitan:

Bedah kepala Selasa depan

Lambaian terakhir [METROTV]

Tidur dikejut dentuman

Penuntut UiTM, pemandu bas maut

2 maut, 15 cedera nahas bas ekspres

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 7:04pm
d