mutakhir

11 jam mewah dilarikan perompak

Oleh Mohamed Farid Noh

SEBELAS jam tangan mewah pelbagai jenama bernilai RM52,500 dilarikan perompak yang memecah masuk rumah di Yong Peng, semalam.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, mangsa yang juga pengusaha ladang sawit tiada di rumah kerana bercuti bersama keluarga di Genting Highlands.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, mangsa memaklumkan polis selepas menerima amaran penggera yang disambungkan ke telefon pintarnya.

“Sebaik menerima makluman mangsa, sepasukan polis dikejarkan ke rumah mangsa di pekan Yong Peng.

“Setibanya anggota polis di rumah mangsa mendapati penyamun sudah melarikan diri bersama 11 jam mewah itu dan polis berjaya mengesan cap jari penjenayah di lokasi kejadian.

“Jam tangan mewah itu membabitkan seutas jam tangan jenama Rado (berwarna perak), Panerei (perak), dua jam Oris (perak dan hitam), Mido (emas), Orient (hitam), dua jam tangan Ball (perak), Epos (perak), Omega (biru gelap) dan Gucci (emas).

“Penyamun turut melarikan wang Yuan China bernilai RM3,000 dan wang Dollar Singapura bernilai RM120 dari rumah mangsa selain dekoder kamera litar tertutup (CCTV),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Mender Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 kerana memecah masuk.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat termasuk didekati penjual jam yang mahu menjual jam dicurigai dinasihatkan memaklumkan polis segera.

“Mereka yang didapati membeli barangan curi boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 7:31pm
d