mutakhir

Dua maut, van bertembung lori

Oleh Attirmidzie Rahman

DUA lelaki maut apabila van dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Binjai dekat Bunut Susu, di Pasir Mas, hari ini.

Pada kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Adnan Pa Adek, 41, dan Abdullah Dolah, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah lori hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van dinaiki mangsa.

“Susulan itu, bahagian depan van terbabit remuk menyebabkan kedua-duanya pemandu dan penumpangnya tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan turut membabitkan dua lagi kenderaan lain iaitu Perodua Alza dan sebuah pacuan empat roda.

“Namun, pemandu kenderaan terbabit termasuk lori yang terbabas tidak mengalami kecederaan kecuali seorang daripada penumpang dari Perodua Alza terpaksa mendapatkan rawatan akibat cedera ringan di muka,” katanya.

Abdullah berkata, mayat kemudian dibawa ke Hospital Lati untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 10:47pm
d