mutakhir

Ajal sesak nafas turun Bukit Tabur

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Hulu Klang: Sesak nafas dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ketika menuruni Bukit Tabur, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Amir Azhari Abdullah Zawawi, 29, disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Ampang, dekat sini, untuk mendapatkan rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 1.25 tengah hari.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerah ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami dimaklumkan mangsa sesak nafas ketika berada pada jarak tiga kilometer dari kaki bukit ketika dalam perjalanan menuruni bukit bersama lima rakannya,” katanya.

Mohd Rizal berkata, pihaknya memulakan pencarian ke tempat mangsa dilaporkan berada pada jam 2.10 petang semalam.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pasukan perubatan yang menyertai operasi itu memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa di lokasi sehingga tiba ke kaki bukit,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia ketika tiba di Hospital Ampang dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 11:48am
d