mutakhir

Koperal direman enam hari [METROTV]

Oleh Nur Aqidah Azizi

KOPERAL polis direman enam hari sehingga Ahad, bagi membantu siasatan kes terima suapan RM4,000.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad di Seremban, hari ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, permohonan reman dibuat Pegawai Penyiasat SPRM, Riduan Kadri sementara suspek diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan.

Dia sebelum itu tiba di mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan berbaju lokap SPRM pada 9.55 pagi.

Jurucakap SPRM negeri berkata, suspek bertugas di Gemas ditahan pada 1 tengah hari semalam, di lokap SPRM Seremban.

Katanya, dia dipercayai meminta suapan daripada seorang penternak kambing dan peladang berumur 36 tahun yang dikatakan bersubahat dalam kegiatan mencuri ternakan.

“Hasil siasatan kita dapati suspek meminta wang sebanyak dua kali berjumlah RM4,000 daripada lelaki berkenaan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 1:19pm
d