mutakhir

Umat Islam jangan pentingkan diri sendiri

Oleh Noorazura Abdul Rahman

UMAT Islam diminta tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memusnahkan agenda penyatuan yang akhirnya menyebabkan negara terancam akibat perbuatan manusia tidak bertanggungjawab.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, setiap umat Islam harus menjiwai aspek kesantunan ummah dengan sentiasa bersikap berlapang dada dan berbaik sangka.

“Sedarlah kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah yang berdaulat ini, di sinilah tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita sehari-hari.

“Justeru, umat Islam perlu saling menghormati antara satu sama lain atas dasar persaudaraan tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik yang berbeza,” titah baginda.

Titah berkenaan dibacakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1440/2018 Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.

Turut berangkat Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Mufti negeri, Datuk Mohd Syeikh Fadzil Awang.

Sultan Sallehuddin bertitah, umat Islam wajar mencontohi sifat kesantunan Nabi Muhammad SAW yang tidak hanya terbatas kepada golongan beragama Islam semata-mata, bahkan merangkumi golongan bukan beragama Islam.

“Tanpa sifat sanggup berhijrah, kejayaan dan kemajuan ummah tidak akan dapat dicapai yang bertepatan dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

“Saya juga ingin mengajak hadirin sekalian, marilah kita menghayati keperibadian Rasulullah dalam menyantuni umat Islam dan bukan Islam di Madinah sehingga tersebarnya rahmat ke seluruh pelusuk alam,” titah baginda.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 2:16pm
d