mutakhir

Kesal dituduh pengikut Syiah

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

POLIS mengesahkan menerima empat laporan terhadap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) susulan operasi jabatan itu terhadap kumpulan Syiah pada malam Merdeka lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata, kesemua laporan itu dibuat berasingan di Balai Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Katanya satu daripada laporan polis itu dibuat pada 2 Sept lalu manakala tiga lagi keesokan harinya.

"Antara isi kandungan laporan itu menyatakan ketidakpuasan hati berhubung tindakan yang diambil JAHEAIK pada malam itu.

"Sebahagian lagi menyuarakan kesal mereka kerana dituduh pengikut Syiah,"katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Din berkata, kesemua empat laporan itu dirujuk JAHEAIK untuk tindakan susulan.

Difahamkan seorang pengadu adalah lelaki disyaki ketua kumpulan Syiah di negeri ini.

Pada 30 Ogos lalu, JAHEAIK menyerbu lokasi dipercayai markas pengikut Syiah dan menahan lebih 40 individu, termasuk kanak-kanak dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu.

Serbuan bermula 10.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai JAHEAIK dengan bantuan polis.

Ketika operasi, kumpulan tersebut terdiri daripada lelaki dan wanita dikatakan sedang mengadakan satu upacara keagamaan yang meragukan dan bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pasukan JAHEAIK turut merampas beberapa barangan seperti buku agama dan risalah.

Berita berkaitan:

Premis disyaki sarang Syiah diserbu

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 2:28pm
d