mutakhir

Kurang 24 jam dah selesai kes bunuh

Oleh Essa Abu Yamin

POLIS daerah Batu Pahat menahan dua lelaki dan menyelesaikan kes bunuh dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat lelaki di kawasan Tanah Perkuburan Cina Batu 1, Jalan Labis di Yong Peng, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Wong, 58, ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kesan luka dan berdarah di bahagian belakang kepala pada 7.50 pagi di kawasan kubur itu.

Katanya, susulan penemuan mayat itu pihaknya menubuhkan pasukan khas dan menjalankan siasatan mengikut pelbagai sudut sebelum memperoleh maklumat.

"Hasil maklumat, kami melakukan intipan dan memberkas dua lelaki berusia 31 tahun pada 9.30 malam dan seorang lagi awal pagi tadi di dua lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

"Hasil bedah siasat pasukan perubatan mendapati tulang rusuk kanan mangsa patah serta bahagian tengkorak kanan terdapat kesan retak kecil dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa masih belum berkahwin dan seorang penagih dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati mangsa mempunyai empat rekod lampau jenayah dan enam rekod berkaitan dadah.

"Kami berjaya memberkas kedua-dua suspek berkenaan dan merampas 13 barang termasuk pisau berukuran 47 sentimeter dan dua motosikal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau termasuk dalam senarai orang dikehendaki bersabit kes dadah," katanya.

Gambar Essa Abu Yamin

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 5:11pm
d