mutakhir

'Duit lesap, kena tikam pula...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI Myanmar cedera di belakang badan selepas ditikam dalam kejadian samun di tapak projek pembinaan di Bandar Sri Astana, di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an sedang tidur bersama seorang lagi rakannya di dalam rumah yang dalam proses pembinaan sebelum didatangi tiga lelaki dan cuba menyamun mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, rakan mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri melalui pintu belakang dan meninggalkan mangsa keseorangan.

Menurutnya, susulan itu, berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek menyebabkan dia cedera di belakang akibat terkena tikaman pisau.

“Suspek kemudian merampas wang tunai RM800 dan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 6:32pm
d