mutakhir

Dua beranak cedera dirempuh bot

Oleh Hamzah Osman

DUA beranak yang juga nelayan cedera selepas bot dinaiki mereka dilanggar bot penambang di perairan Tanjung Tirai, Kuah, dekat Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, nelayan berusia 60-an itu dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat paha kirinya terkoyak.

Bagaimanapun, anak lelakinya yang berusia 16 tahun hanya luka pada kaki.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Nalzatul Ashikin Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 5.40 petang.

“Difahamkan, ketika kejadian, bot penambang yang dinaiki 10 penumpang dalam perjalanan dari Kuah ke jeti Kampung Selat Bagan Nyiur di Pulau Dayang Bunting sebelum melanggar bot yang dinaiki dua beranak itu.

“Jurumudi dan penumpang bot penambang dilaporkan tidak cedera dan dia (jurumudi) sempat membantu menyelamatkan dua beranak yang berada di atas bot nelayan selepas kemalangan,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, lima anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki bot.

Namun, mereka berpatah balik selepas dimaklumkan mangsa sudah diselamatkan jurumudi bot penambang terbabit.

Nalzatul Ashikin berkata, kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Sungai Menghulu, di sini, sudah dibawa ke Hospital Langkawi dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 9:39pm
d