mutakhir

Nasib malang tayar lori pecah

Oleh Farah Suhaidah Othman

EMPAT cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan lori dan bas ekspres di Kilometer 328.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Tapah, hari ini.

Dalam kemalangan pada 3.40 petang itu, Ng Hoi Pin, 62, yang memandu lori membawa muatan plastik parah di kepala dan kaki apabila kenderaan itu terbalik sebelum dirempuh bas berkenaan.

Pemandu bas berusia 25 tahun dan dua penumpang yang belum dikenal pasti identiti cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki warga emas itu dan bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian tayar lori berkenaan pecah menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Pada masa sama, bas ekspres dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh lori berkenaan.

“Pemandu lori itu dibawa ke Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan lanjut.

“Pemandu bas dan dua penumpang yang belum dikenal pasti hanya cedera ringan dan tidak menerima rawatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 9:49pm
d