mutakhir

Ajal jatuh sungai

Oleh Fazrik Kamarudin

Ampang: Kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia 10 tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Tengah di sini, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Farhan Mistari meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Ampang di sini, oleh ambulans.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 7.55 malam.

“Enam anggota kemudian dikejarkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian. Ketika tiba di lokasi, anggota mendapati mangsa sudah diselamatkan orang awam.

“Namun, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya, semalam.

Beliau berkata, anggota bomba memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum rawatan kecemasan lain diteruskan anggota paramedik.

“Selepas bantuan CPR diberikan, mangsa masih belum sedarkan diri. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mayat mangsa sudah dituntut bapanya semalam dan akan dibawa pulang ke Indonesia untuk dikebumikan.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 11:22am
d