mutakhir

Hajat tak sampai jamah cempedak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

SELEPAS hampir 24 jam dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari pokok cempedak setinggi 12 meter di Perumahan Kilang Sawit FELDA Jengka 8, di Maran, petang semalam.

Mayat Mat Radzi Mat Isa, 40, dari kawasan rancangan berkenaan ditemui penduduk dalam keadaan terbaring atas tanah kira-kita jam 2.30 petang.

Abang mangsa, Tahir Mat Aris, 56, berkata, Allahyarham adalah anak kelapan daripada 10 beradik dikatakan keluar dari rumah jam 10 pagi Isnin lalu, untuk mengambil buah cempedak di kebun peninggalan peneroka FELDA berkenaan.

“Ayah kami ingat adik tidur di rumah kawan kerana tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam.

“Namun, semalam adik tidak pulang ke rumah menyebabkan ayah mula risau sebelum dimaklumkan seorang peneroka menemui mayat adik di tepi pokok cempedak,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di rumahnya di FELDA Jengka 8, di sini, hari ini.

Beliau yang terkejut selepas dimaklumkan penemuan mayat adiknya yang bekerja kampung dan masih bujang berkata, mereka sekeluarga reda dan menerima takdir dengan kejadian itu.

Katanya, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di FELDA Jengka 8, pada jam 1 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa maut akibat mengalami cedera parah di dada.

Katanya, polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 2:39pm
d