mutakhir

Mangsa culik sudah di Filipina

Oleh Avila Geraldine

PENCULIK yang melarikan dua nelayan warga Indonesia di perairan Semporna, semalam dipercayai sudah menyelinap keluar dari Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima panggilan daripada penculik.

Beliau berkata, pihak berkuasa Indonesia juga belum menghubungi ESSCOM.

“Saya percaya mereka (pihak berkuasa Indonesia) melalui Wisma Putra (untuk mendapatkan maklumat). Untuk ESSCOM, kita sentiasa berada pada tahap waspada yang tinggi dan menggunakan semua aset untuk tingkatkan keselamatan di laut.

“Kita akan lancarkan operasi maritim untuk memeriksa semua bot termasuk bot pam di pantai timur (Sabah)," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi semalam, dua lelaki bertopeng dipercayai membawa senjata api M16 menyerbu sebuah bot nelayan dinaiki empat nelayan warga Indonesia berhampiran Pulau Gaya di Semporna.

Dalam insiden penculikan terbaharu itu, dua nelayan dilarikan, manakala dua lagi sempat bersembunyi daripada penculik yang dipercayai menggunakan bot pam.

Sementara itu, Hazani menerusi kenyataan berkata, siasatan mendapati kapal nelayan berkenaan tidak dilengkapi sistem pengesanan automatik (AIS) walaupun pihaknya berulang kali memberi peringatan mengenai kepentingan alat berkenaan.

“Malangnya ada pengusaha kapal atau bot nelayan masih gagal mematuhinya. Pemasangan alat ini adalah pendekatan strategik yang boleh membantu pihak keselamatan membuat pemantauan terhadap aktiviti perkapalan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Menjadi amalan kru kapal atau bot nelayan apabila berdepan situasi jenayah di laut menghubungi majikan mereka terlebih dahulu sebelum majikan memaklumkan kepada pihak keselamatan.

“Ini menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengambil tindakan segera dan memberi ruang kepada penjenayah melarikan diri," katanya.

Beliau juga meminta semua pengusaha kapal dan bot yang beroperasi di perairan ESSZONE supaya menyimpan nombor telefon Pusat Operasi ESSCOM bagi memudahkan kru membuat panggilan jika berlaku kecemasan, selain mereka dikehendaki memaklumkan kedudukan semasa kapal kepada ESSCOM.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Kumpulan KFR dalang kes culik

Dua kru bot diculik

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 2:46pm
d