mutakhir

Zuraidah selar 'Langkah PD'

Oleh Fahmy Azril Rosli

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyelar keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson yang didakwa ‘didalangi’ sesetengah pemimpin parti itu selain dibuat tidak mengikut saluran betul.

Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai dangkal kerana tidak dibuat secara konsensus.

Katanya, tindakan yang menyisihkan suara pemimpin lain dalam PKR cuma melambangkan sistem dalam PKR tidak demokratik yang dimanipulasi kumpulan tertentu.

“Tindakan yang telah dibuat oleh sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson demi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen Malaysia.

“Setiap keputusan yang diambil oleh parti ini perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan daripada seluruh ahli parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.

“Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaiknya, Zuraida menegaskan, penting untuk seluruh kepimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Oleh itu, katanya, sebaiknya Anwar selaku bakal Presiden PKR yang baharu dengan sendiri akan mengumumkan pendiriannya mengenai kerusi mana menjadi pilihan.

“PKR yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar sendiri perlu berdiri diatas paksi ketelusan dan mendukung demokrasi pada tahap yang tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua enggan mengulas mengenai keputusan itu.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 6:04pm
d