mutakhir

MIC rela lepas kerusi

Oleh Nur Aqidah Azizi

MIC Negeri Sembilan bersedia melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson kepada calon komponen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sekiranya diminta berbuat demikian oleh pucuk pimpinan parti.

Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam ketika dihubungi berkata, walaupun secara tradisinya kerusi Parlimen Port Dickson diberi kepada MIC, namun pertukaran kerusi antara parti itu dan UMNO bagi menghadapi PRK tidak mustahil berlaku.

“Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson baru sahaja dibuat. Kita masih belum berbincang tetapi kami akan menuruti apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh peringkat tertinggi BN,” katanya.

Mengenai spekulasi Timbalan Presiden UMNO yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan sebagai calon yang layak untuk bertanding di Parlimen Port Dickson, Manickam berkata MIC Negeri Sembilan akan menyokong setiap keputusan yang dibuat oleh pusat bagi memastikan kemenangan BN.

Ditanya mengenai keputusan Anwar yang memilih untuk bertanding di Port Dickson, katanya, semua pihak harus menerima pilihan itu dengan hati yang terbuka.

“Mungkin beliau (Anwar) merasakan Port Dickson adalah laluan mudah, tapi bagi kami selagi ada pertandingan, ia bukanlah jalan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 6:52pm
d