mutakhir

Tujuh kaki judi didenda [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

TUJUH individu termasuk tiga warga emas didenda RM1,500 dan RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini selepas mengaku bersalah terbabit bermain judi jenias belangkas di Pendang, Ahad lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mahadir Mat Nanyan, 46, Zabidi Ahmad, 56, Wan Mohd Helmi Jamaludin, 35, Ewat Din Seng, 74, Othman Md Piah, 63, Abdul Aziz Zainuddin, 26 dan Lim Sai Kim, 70 selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Tertuduh pertama, Mahadir bagaimanapun didenda RM5,000 disebabkan tertuduh pernah mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan judi tidak sah pada 2010 dan kegagalannya untuk membayar wang denda berkenaan boleh dipenjara selama enam bulan.

Tertuduh yang lain pula hanya dikenakan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bermain judi jenis belangkas dengan pertaruhan wang tunai di tempat awam di bawah khemah dalam kawasan kebun di Kampung Lampam, Kubur Panjang, Pendang pada 6.40 petang 9 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd Noor, Mohd Nuradzwan Rodzi dan Chuah Hock Aik dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Qatrin memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga peguam yang mewakili anak guam masing-masing merayu mahkamah supaya mengenakan hukuman denda yang ringan memandangkan sebahagian daripada tertuduh adalah warga emas serta tidak bekerja.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 9:24pm
d