mutakhir

Anwar dah maklumkan PM

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah dimaklumkan mengenai percaturan keputusan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hasrat yang menjadi sebahagian daripada proses untuk dilantik semula menganggotai Dewan Rakyat, sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri Ke-8 itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon.

“Saya beritahu bahawa kami akan terus menyatakan sokongan padu kepada Tun (Dr) Mahathir menerajui negara,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI, hari ini.

Sementara itu, Anwar menyifatkan turut mengaku terkesan dengan pendirian Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah.

“Saya tertarik pada kawasan Teluk Kemang (sekarang dikenali sebagai Port Dickson selepas proses persempadanan semula) ini dan terkesan dengan personaliti Laksamana Daniyal ini.

“Dia tidak berbicara soal undur. Dia berbicara soal berdamping dan bersama untuk membentuk pasukan yang mantap,” katanya.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 10:24pm
d