mutakhir

Kongsi pengalaman lawan komunis

Oleh Nazri Abu Bakar

Jasin: Lebih 240 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu, Sungai Rambai di sini, teruja dan terharu apabila bertemu dengan bekas tentera yang putus kaki akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu semalam, bekas anggota gerak khas, Hussin Mahbeb, 59, menceritakan peristiwa hitam yang menimpa dirinya sehingga putus pergelangan kaki kiri akibat gerak gempur kubu komunis sekitar 1976.

Dia juga berkongsi pengalamannya terkena jerangkap samar yang turut membabitkan dua rakannya sehingga kehilangan kaki dan tangan.

Hussin berkata, program yang dianjurkan itu bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda terhadap kesukaran pejuang negara terutama anggota pasukan keselamatan dalam berhadapan ancaman komunis dan keganasan mereka terhadap masyarakat dan negara.

“Saya amat gembira kerana semua murid memberi maklum balas yang positif terhadap setiap perkara yang saya bicarakan sehingga mengambil tempoh dua jam walaupun jadual asal hanyalah satu jam.

“Mereka memahami peranan masyarakat, pemimpin dan pejuang negara, termasuk tentera dan polis dalam memastikan kemerdekaan negara berjaya diperoleh dan keamanan negara terus dikekalkan sehingga kini,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Hussin yang terbabit dalam operasi memburu sarang komunis termasuk di Kemubu, Kelantan, Hutan Bentong, Pahang dan Sungai Siput, Perak putus pergelangan kaki kiri ketika melakukan gerak gempur di Gubir, Kedah antara sempadan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, guru penolong kanan kokurikulum sekolah itu yang juga pengerusi penganjur, Norliza Mohd Yamin berkata, majlis itu diadakan bersempena memperingati sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini serta menghargai jasa anggota pasukan keselamatan negara.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 12:00pm
d