mutakhir

Polis cari lelaki ini

Oleh Rosli Ilham

POLIS hari ini mengedar fotofit seorang daripada empat suspek yang terbabit dalam kes samun kedai menjual makanan di Kampung Santong Paka, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, polis meminta masyarakat menjejak suspek yang terbabit dalam kes itu.

"Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit supaya tampil membuat laporan kepada polis," katanya.

Katanya, dua daripada suspek itu dikenali mangsa dan pernah beberapa kali membeli makanan di gerai mangsa.

"Selepas menerima laporan, polis terus melancarkan gerakan memburu keempat-empat suspek dan kes terbabit akan disiasat mengikut seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Polis percaya suspek masih bersembunyi selepas menyedari perbuatan jenayah mereka itu diketahui pihak polis," katanya.

Dalam kejadian, 10.30 pagi itu, mangsa Fatimah latih, 63, dan anak saudaranya, Hanisah Meehi, 36, yang berniaga di tepi jalan didatangi empat suspek yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback.

Dua daripada suspek bertindak mengacukan pisau kepada mangsa dan anak saudaranya itu sebelum menyamun wang tunai, loket emas, telefon bimbit dan kereta Perodua Viva bernilai RM26, 000.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 12:09pm
d