mutakhir

Tak pantau saringan Tibi, Hepatitis-B punca merebak

Oleh Asmah Rusman

TIADA pemantauan terhadap saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing di negara asal antara faktor utama peningkatan penularan penyakit Tibi dan Hepatitis-B di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) Sdn Bhd Datuk Mohd Hatar Ismail berkata, berikutan itu, pihaknya tidak menolak berlaku ketirisan maklumat atau pemeriksaan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ada kemungkinan pekerja asing ini tidak menjalani pemeriksaan kesihatan di negara asal mereka dan masuk ke negara ini dengan membawa penyakit itu.

“Kita juga bimbang sekiranya saringan yang dibuat doktor di sana tidak tepat atau tidak mengikut SOP pemeriksaan kesihatan antarabangsa,” katanya pada Majlis Penutup Program Jelajah Bersama Majikan Pekerja Asing 2018 di Menara MITI, hari ini.

Beliau berkata, statistik saringan kesihatan FOMEMA mengesan pekerja asing yang menghidap penyakit Tibi sehingga Ogos tahun ini meningkat kepada 9,411 orang berbanding 9,257 orang tahun lalu diikuti penyakit Hepatitis-B meningkat kepada 4,206 orang berbanding 2,552 orang.

Katanya, sehingga bulan lalu, pesakit Tibi seramai 5,279 orang terdiri daripada pekerja asing yang baru manakala 4,132 orang bagi pembaharuan permit.

Bagi penyakit Hepatitis-B pula 3,420 orang adalah pekerja asing baru manakala 786 orang bagi pembaharuan permit.

“Bagi pekerja asing yang gagal dalam ujian saringan ini mereka termaktub di bawah Akta Imigresen yang mana permit tidak akan dikeluarkan dan perlu dihantar pulang ke negara asal.

“Majikan juga akan diberi notis penghantaran pulang itu dan diberi masa selama dua minggu untuk membuat rayuan sekiranya masih ingin menggunakan khidmat pekerja asing berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hatar berkata, program jelajah keenam yang dihadiri lebih 200 majikan pekerja asing dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu merangkumi sesi taklimat secara menyeluruh mengenai garis panduan pemeriksaan perubatan pekerja asing yang menggunakan format baru dan proses penambahbaikan.

Program itu turut dihadiri Pengerusi FOMEMA, Tengku Abu Bakar Ahmad Ibni Almarhum Tengku Tan Sri Abdullah.

Katanya, program ini bertujuan memperkasakan hubungan interaksi FOMEMA bersama majikan, mengoptimumkan dan menambah baik proses operasi pemeriksaan perubatan FOMEMA.

Katanya, program bersama majikan ini diadakan di enam lokasi iaitu di Selangor, Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Kuala Lumpur sejak Julai lepas.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 1:59pm
d