mutakhir

Hajat Huzaimy tak kesampaian

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

IPOH: “Arwah memang mempunyai masalah jantung yang diketahuinya awal tahun ini, namun disebabkan mahu melihat skuad sepak takraw Johor beraksi di SUKMA (Sukan Malaysia) Perak, dia gagahkan diri untuk datang.

“Beberapa hari sebelum ini, dia berjumpa pemain dan memberikan kata-kata semangat supaya menampilkan aksi terbaik ketika di gelanggang dan mahu melihat skuad sepak takraw Johor membawa pulang emas,” kata Khairul Azuar Mohamad, 40.

Khairul Azuar adalah abang kepada penolong pengurus pasukan sepak takraw Johor, Allahyarham Ahmad Huzaimy, 37, yang meninggal dunia di rumah inap pegawai pasukan berkenaan di Taman Desa Putra Indah, Tanjung Rambutan, di sini, pagi ini.

Dia yang juga pegawai skuad berkenaan berkata, arwah adiknya itu meninggal dunia di sisinya kira-kira jam 2 pagi selepas mengadu tidak sedap badan sebelum secara tiba-tiba sesak nafas.

Katanya, dia dan arwah menonton televisyen kira-kira jam 10 malam dan masuk ke dalam bilik untuk tidur sebelum arwah secara tiba-tiba memberitahu keadaan badannya tidak selesa.

“Arwah duduk dan baring berkali-kali sebelum saya bertanyakan keadaannya dan arwah memberitahu dia berasa tidak sedap badan sebelum secara tiba-tiba sesak nafas membuatkan saya terus memanggil pengurus pasukan.

“Saya cuba membuat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) dan menghubungi ambulans sebelum arwah disahkan meninggal di rumah inap berkenaan,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Khairul Azuar berkata, arwah sebelum ini ada mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan perlu hadir untuk menjalani rawatan seterusnya sebaik pulang dari SUKMA nanti.

Menurutnya, jenazah dijangka dikebumikan sebelum Maghrib di Tanah Perkuburan Kebun Teh, Johor Bahru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian itu kira-kira jam 4.05 pagi.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk dibedah siasat dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemui.

“Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 2:56pm
d