mutakhir

Pemegang lesen terbang ada sebulan sahaja! [METROTV]

Oleh Azura Abas dan Suhaila Shahrul Annuar

KEMENTERIAN Pengangkutan mengesyaki kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak dua tahun lalu susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meminta mana-mana pemegang lesen terbang di negara ini tampil dan menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

“Kita minta mereka tampil secara sukarela dan tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka.

“Namun, selepas tempoh itu, mana-mana pihak yang didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan akan dipanggil temu siasat mengikut Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi memproses maklumat pemohon menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon terbabit tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak memiliki lesen memandu di luar negara.

“Lesen memandu luar negara yang sering digunakan sindiket ini untuk prosedur penukaran adalah dari China, Singapura, Brunei dan Jepun.

“Mereka (sindiket) juga mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,500 bagi setiap lesen,” katanya.

Loke berkata, kementeriannya juga sudah mengambil tindakan tahan kerja terhadap 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Tangkapan ini membabitkan pegawai dan anggota di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

“Ini sebagai peringatan kepada mereka bahawa kita memang serius menbanteras kes rasuah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan. Walaupun mereka masih belum didakwa tetapi kementerian ini ada hak untuk menahan kerja mereka.

“Aktiviti tidak bermoral ini memberi kesan negatif kepada negara termasuk dari segi ekonomi iaitu ketirisan hasil negara dan institut memandu tidak dapat menjana hasil.

“Bagi lesen Kelas B, ketirisan hasil negara adalah RM83 bagi setiap pemohon lesen manakala bagi kelas D adalah RM113 bagi setiap pemohon lesen.

“Untuk institut memandu pula, mereka tidak dapat menjana hasil iaitu lesen kelas B sebanyak RM709 bagi setiap pemohon lesen dan lesen kelas D adalah RM1,007 bagi setiap pemegang lesen,” katanya.

Beliau berkata, bagi membendung kegiatan itu, kementeriannya dengan SPRM, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (SKMM).

“Selain itu, kelulusan penukaran secara automatik juga hanya dibenarkan di JPJ negeri sahaja dan tidak lagi dibenarkan dibuat di JPJ cawangan,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 3:41pm
d