mutakhir

Syor tangguh pemilihan tumpu PRK

Oleh Khairul Azran Hussin

“JAWATANKUASA Pemilihan PKR perlu lihat semula untuk tangguhkan pemilihan selepas PRK (Pilihan Raya Kecil) Port Dickson berakhir,” kata Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mencadangkan pemilihan parti itu ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada PRK Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan PKR perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana barisan kepimpinan serta beratus ribu ahli parti terbabit dalam proses pengundian, sekali gus dikhuatiri akan menjejaskan jentera kempen parti.

“Bagi pandangan saya PRK Port Dickson lagi penting sebab PRK ini adalah kemunculan semula Datuk Seri Anwar (Ibrahim) selepas sekian lama dinafikan hak untuk bertanding,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Minyak Biodiesel 10 (B10) di Felda Transport Services Sdn Bhd di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Ventures Holdings (FGV), Datuk Zakaria Arshad.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Rashid Din berkata, seramai 800,000 anggota PKR akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan.

Beliau berkata, mereka yang mengundi termasuk 300,000 ahli baharu yang mendaftar menyertai parti itu sejak 9 Mei hingga 26 Jun lalu.

Pemilihan pertama berlangsung pada 14 September membabitkan ahli di Kelantan dan Terengganu, diikuti Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang pada 15 September manakala Wilayah Persekutuan pada 17 September.

Pengundian untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan Johor ditetapkan pada 22 September manakala di Selangor pada 29 September dan Perak 30 September.

Pengundian di Sarawak ditetapkan pada 6 Oktober manakala Sabah pada 13 Oktober.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, tumpuan sepenuhnya perlu kepada PRK Parlimen Port Dickson bagi memastikan Anwar menang dengan majoriti besar.

“Sudah tentu adalah cabaran kepada kita semua untuk memastikan pengundi keluar mengundi dan juga cabaran untuk meningkatkan lagi undi majoriti yang dimenangi pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Pada PRU-14, bekas penyandang (Datuk Danyal Balagopal Abdullah) memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti selesa 17,710 undi,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa pemimpin pakatan pembangkang bahawa pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson hanya membazirkan wang negara, beliau berkata, pembangkang tidak perlu meletakkan calon jika mereka berpendapat PRK itu tidak sepatutnya berlangsung.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 4:20pm
d