mutakhir

Putus tangan kereta bergesel lori

Oleh Ramli Ibrahim

WANITA maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan lori muatan kelapa sawit di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang, hari ini.

Dalam kemalangan pada 1.30 tengah hari berhampiran Kampung Gua Sejuk, Nor Shahida Abd Gani, 32, yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, tersepit di dalam kereta remuk itu manakala tangan kanannya terputus.

Selain itu, pemandu lori itu yang belum diketahui identitinya, patah kaki dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian berlaku ketika mangsa memandu kereta Proton Saga dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal keretanya lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori sarat muatan kelapa sawit.

“Kereta terbabit bergesel dengan lori berkenaan hingga menyebabkan tangan kanan mangsa terputus dan terjatuh di atas jalan di lokasi itu.

“Kami mendapat bantuan anggota bomba bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta remuk itu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, kemalangan itu paling ngeri kerana tangan kanan mangsa terputus, kepala dan badannya cedera parah sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah dan siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 4:51pm
d