mutakhir

Maut nahas 5 kenderaan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JURUTEKNIK maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain di Kilometer 1.3 Lebuhraya Linkedua arah selatan di Johor Bahru, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri (Operasi), Superintendan Ismail Dollah berkata, kejadian pada 8.33 pagi mengakibatkan mangsa, Mohd Azam Karimin, 27, yang bekerja di Singapura maut di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal di tunggang mangsa yang beralamat di Kulai melanggar kereta Perodua Myvi.

“Kereta itu dipercayai mengubah lorong secara perlahan dari lorong paling kanan ke lorong kecemasan.

“Pemandu kereta itu dipercayai bertindak demikian bagi membantu saudaranya yang terbabit dalam kemalangan sebelum itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, mangsa yang terjatuh kemudian dilanggar tiga motosikal yang gagal mengelak berikutan jarak terlalu hampir.

Beliau berkata, pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang kebetulan selesai menjalankan Ops Penguatkuasaan Trafik ke atas motosikal membantu mangsa kemalangan terbabit.

“Mangsa serta tiga lagi penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta tidak memiliki lesen memandu dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 4:58pm
d