mutakhir

Milik siapakah bayi ini?

Oleh Teoh Pei Ying

TIGA pekerja kontraktor Alam Flora yang sedang melakukan pembersihan di jejantas Jalan Kampung Pandan off Jalan Imbi, Kuala Lumpur menemui bayi perempuan dalam sebuah beg, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ditemui pekerja terbabit di laluan pejalan kaki jam 2 petang.

“Mereka menemui beg berwarna hitam di laluan pejalan kaki di jejantas itu. Pemeriksaan terhadap beg itu membawa kepada penemuan bayi yang dibalut dengan kain batik.

“Anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang dimaklumkan mengenai perkara itu bergegas ke lokasi dan membawa bayi berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaharudin berkata, bayi seberat 2.45 kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak HKL sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

“Satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Afrizal Aizat Md Ariff di talian 012-7883138 bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 5:37pm
d