mutakhir

Kita tahu di mana Jho Low - Polis

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Teoh Pei Ying

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan bahawa polis mempunyai maklumat mengenai lokasi ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan di negara mana Jho Low bersembunyi berikutan ia membabitkan isu kedaulatan dan perundangan negara berkenaan.

Katanya, disebabkan itu, PDRM tidak boleh menghantar pasukannya untuk menahan Jho Low sebaliknya perlu berbincang dengan kerajaan negara berkenaan.

“Kita ada maklumat mengenai lokasi Jho Low, tapi kita tidak boleh dedahkan atas faktor perundangan negara itu dan ia masih rahsia kerana tidak mahu menjejaskan usaha yang dibuat.

“Jadi, kita perlu berbincang dengan kerajaan serta pihak berkuasa negara berkenaan termasuk mendapatkan bantuan pihak tertentu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pada 11 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa Jho Low, ahli perniagaan yang menjadi buruan berikutan pembabitan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sudah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Katanya, makluman mengenai Jho Low itu dihantar menerusi emel daripada pihak berkuasa Macau kepada PDRM.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 7:36pm
d