mutakhir

1MDB: Beberapa individu lagi akan didakwa [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Teoh Pei Ying

BEBERAPA individu yang terbabit dalam skandal 1MDB sudah dikenal pasti dan bakal dituduh mengikut empat peruntukan undang-undang yang berbeza termasuk konspirasi pecah amanah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, empat peruntukan undang-undang itu, membabitkan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kedua adalah konspirasi jenayah untuk melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Katanya, ketiga pula kerana bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 109/409 Kanun Keseksaan dan keempat kerana menerima harta curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan mengikut empat peruntukan undang-undang ini membabitkan siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman juga terhadap skandal 1MDB.

“Malah, bagi siasatan dijalankan JSJK itu, ia juga memerlukan keterangan saksi dari luar negara dan kita sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negara terbabit menerusi Jabatan Peguam Negara," katanya dalam Sidang Media Isu 1MDB di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan JSJK Bukit Aman adalah berdasarkan empat transaksi atau kerjasama dijalankan dengan beberapa syarikat lain

Katanya, antara transaksi itu adalah membabitkan terbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) dikeluarkan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion pada tahun 2009 tanpa kelulusan Menteri Besar Terengganu.

“Selain itu, ia juga membabitkan perjanjian usaha sama antara 1MDB dengan Petrosaudi International Limited dan pemberian pinjaman dalam bentuk nota murabahah.

"Transaksi ketiga yang disiasat pula membabitkan nota terbitan bernilai AS$3.5 bilion bagi pembelian aset dalam sektor tenaga (Tanjong dan Genting).

“Transaksi keempat yang disiasat pula membabitkan nota terbitan bernilai AS$3 bilion oleh 1MDB Global Investment Limited yang juga anak syarikat 1MDB, bagi projek usaha sama Tun Razak Exchange dengan AABAR," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 7:50pm
d