mutakhir

14 nelayan asing ditahan

Oleh Rosli Ilham

SERAMAI 14 nelayan asing termasuk dua tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dokumen mereka didapati mencurigakan.

Pengarah APMM negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua nelayan terbabit ditahan selepas APMM menahan dua bot nelayan tempatan, kelmarin.

Menurutnya, sebelum itu, sepasukan anggota APMM yang melaksanakan Ops Perkasa Timur, Ops Iman dan Ops Marikh bagi perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk mencegah pencerobohan bot nelayan asing yang semakin berani menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

“Kami menahan bot pertama pada kedudukan 100 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 7.30 malam sebelum menahan sebuah lagi bot pada kedudukan 65 batu nautika berhampiran Pulau Tenggol.

“Hasil pemeriksaan kedua-dua bot nelayan tempatan itu mendapati lesen, permit kerja dan pasport yang mencurigakan,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kemaman, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit tidak mempunyai hasil tangkapan, namun terdapat 11,000 liter minyak diesel.

Katanya, pihaknya menahan semua nelayan dan tekong berusia 19 hingga 47 tahun serta dua bot termasuk peralatan bernilai RM2 juta sebelum dibawa masuk ke Jeti APMM Kemaman.

“Semua nelayan dan tekong terbabit akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Selain itu, mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri sah serta Seksyen 8 (a) kerana melanggar syarat lesen,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya akan terus komited memperkukuhkan kedaulatan negara dengan mempergiatkan rondaan membenteras kemasukan nelayan asing di perairan negara.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 9:28pm
d