mutakhir

Kerana semut api

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI pengsan akibat kejang otot selepas digigit semut api ketika dalam perjalanan turun dari Bukit Wawasan, Puchong, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Mohd Hisham Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.44 petang sebelum empat anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan lelaki berusia 40-an pengsan akibat kejang otot selepas digigit semut api di kawasan berkenaan.

"Mangsa yang berjaya dibawa keluar beberapa minit kemudian diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putrajaya Mejar (PA) Ahmad Junaidi Bin Dukut Soeharto berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 6.45 petang.

"Seramai 12 pegawai, anggota serta pelatih APM Putrajaya bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mangsa pada 8.43 malam sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 9:32am
d