mutakhir

Bendera gergasi bekas telur

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Lebih 1,500 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg di Petra Jaya menampilkan kelainan dengan membentuk replika Jalur Gemilang gergasi menggunakan bekas telur.

Pengetuanya, Affida Helmi berkata, idea itu diilhamkan seorang guru sekolah berkenaan sempena sambutan Hari Malaysia, Ahad ini.

Menurutnya, inisiatif itu ditampilkan bagi menyemai semangat kerjasama dalam kalangan warga sekolah untuk meraikan pembentukan Malaysia.

“Jika sebelum ini, hanya sambutan seperti persembahan yang tidak disertai semua peringkat pelajar namun program ini dilihat mampu menyatukan warga sekolah termasuk alumni.

“Idea ini diilhamkan guru kimia Abdul Jaya Manan bulan lalu sebelum pelajar diminta mengumpul bekas telur untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Jalur Gemilang bersaiz 910 meter persegi itu mengambil masa satu jam disusun 116 pelajar tingkatan empat menggunakan 10,296 bekas telur yang disumbangkan pelajar, guru, kakitangan awam dan alumni.

Sebanyak 476 liter cat merangkumi warga merah, putih, biru dan kuning digunakan untuk mewarnakan bekas telur mengikut warna bendera Malaysia.

Beliau berkata, sikap saling kerjasama dilihat mampu diperkukuhkan menerusi program ini kerana ia membabitkan semua peringkat bermula pelajar sehingga pentadbir.

“Saya gembira program sebegini diwujudkan bukan saja menampilkan kelainan tetapi lebih penting semangat patriotisme disemai dalam kalangan generasi pelapis negara,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 11:11am
d