mutakhir

'Ingatkan jual kosmetik, rupanya...'

Oleh Fardy Bungga

SEORANG peniaga di Keningau dikesan bukan sahaja menjual beg tangan dan barangan kosmetik, malah senapang angin secara haram.

Difahamkan, lelaki tempatan berusia 36 tahun terbabit dikatakan mendapat untung berlipat kali ganda melalui aktiviti berkenaan, sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, helahnya terbongkar selepas dia ditahan polis di sebuah premis di Lorong Arshad Shopping Complex, pada 2 petang, 9 September lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui senapang buatan sendiri jenis bakakuk, beberapa laras senapang angin, pelbagai jenis peluru dan palet senapang angin serta ‘silencer’.

“Hasil soal siasat, suspek menunjukkan sebuah lagi premis di Pekan Keningau yang membawa kepada penemuan beberapa lagi laras senapang angin menjadikan keseluruhan sembilan laras senapang dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Semenanjung sudah tinggal di negeri ini selama 13 tahun dan mengaku menjalankan aktiviti itu sejak enam bulan lalu.

“Susulan penahanan suspek, polis menahan seorang lelaki lain yang berperanan sebagai pembekal senapang angin berkenaan yang diakui dibawa masuk dari negara jiran.

“Suspek kedua berusia 32 tahun berasal dari Kampung Pagalungan, Keningau itu kemudian mendedahkan seorang lagi suspek berusia 40 tahun dari Kampung Gaulan, Keningau yang mempunyai kepakaran mengubahsuai dan membaiki senapang angin serta bakakuk,” katanya.

Omar berkata, susulan penahanan tiga suspek itu, polis menangkap dua lagi lelaki berusia 29 dan 30 tahun yang terbabit dalam urusan penjualan kepada pembeli tempatan.

Katanya, kelima-lima suspek kini direman sehingga 18 September.

Beliau berkata, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM10,000 berdasarkan harga pasaran semasa dan polis kini giat mengesan pembeli senjata berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Mengulas perkembangan kes culik dua nelayan warga Indonesia di perairan Semporna, Selasa lalu, Omar berkata, kumpulan penculik belum membuat sebarang tuntutan sama ada dengan ahli keluarga atau majikan mangsa.

“Polis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara jiran (Filipina) untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Kebiasaannya, kumpulan penculik akan menempatkan mangsa di tempat selamat sebelum menghubungi ahli keluarga atau majikan untuk sebarang tuntutan,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 6:43pm
d