mutakhir

Shafee yang nak sangat jadi Peguam Negara... - PM

Oleh Manirajan Ramasamy

PEGUAM terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi Peguam Negara dan menerajui pendakwaan kes liwat 2.0 membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Muhammad Shafee ada berjumpa dengannya dan memberitahu Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak mampu melakukan pendakwaan terhadap Anwar.

“Muhammad Shafee nak sangat menjadi Peguam Negara, beliau datang jumpa saya dan memberitahu Peguam Negara ketika itu tidak boleh melakukan pendakwaan terhadap kes Anwar.

“Beliau yakin boleh menang. Saya kata, kalau yakin boleh menang, pergi beritahu (Datuk Seri) Najib Razak. Masa itu, saya masih berkawan baik dengan Najib,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhammad Shafee yang mendakwa bahawa Dr Mahathir yang mengarahkannya supaya mengetuai pendakwaan terhadap Anwar dalam kes liwat 2.0.

Dr Mahathir turut menyindir Muhammad Shafee kononnya beliau amat menyayangi peguam berkenaan.

“Berdasarkan dia (Muhammad Shafee), saya sayang beliau sangat, kalau tidak dijadikan Peguam Negara, saya akan menentang Najib. Kali ini, saya menentang Najib sebab balas dendam,” katanya.

Muhammad Shafee sebelum ini mendakwa Dr Mahathir yang mahukannya untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar kerana tidak yakin terhadap kemampuan Peguam Negara ketika itu.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 7:36pm
d