mutakhir

Mayat lelaki lemas ditemui

Oleh HM Digital

Batu Gajah: Lelaki Orang Asli, Miszal Abu, 38, yang terjatuh ke lombong di Kampung Pisang di sini, ketika memukat ikan kelmarin, disahkan lemas selepas mayatnya ditemui jam 6.50 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Perah, Parit dijalankan selepas pihaknya menerima panggilan kejadian jam 5.42 petang kelmarin.

“Pada kejadian jam 5.30 petang, mangsa memukat dengan rakannya, Bah Denis Ramli yang berusia 38 tahun namun Bah Denis terselamat.

“Sepuluh anggota yang menggunakan dua bot menjalankan operasi SAR dengan bantuan tujuh anggota polis. Mayat mangsa ditemui terapung 10 meter daripada tebing lombong.

“Mayatnya kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat dan operasi ditamatkan jam 8 pagi.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 3:25am
d