mutakhir

Bukan kes budak perempuan dibunuh

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menafikan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dibunuh dengan mayatnya disumbat dalam beg pakaian di Taman Jaya, Gemas, seperti tular di laman sosial Facebook, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis tidak menerima laporan kejadian, malah semakan terhadap gambar yang tular itu mendapati ia adalah kejadian yang berlaku pada 2014.

“Maklumat itu adalah palsu. Ia sengaja ditularkan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan ketakutan kepada orang awam.

“Kejadian sebenar berlaku pada 2014 dan penemuan mayat itu adalah wanita dan bukan kanak-kanak seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan berhati-hati apabila memuat naik sesuatu berita ke laman sosial.

Beliau berkata, sebaiknya dapatkan pengesahan daripada pihak bertanggungjawab mengenai kesahihan berita.

Beberapa gambar tular di Facebook, hari ini, yang memaparkan mayat dalam beg pakaian berwarna hitam ditemui di dalam longkang di Taman Jaya, Gemas oleh anggota polis.

Mesej tular itu mendakwa mayat seorang kanak-kanak perempuan mati dibunuh dengan kejam sebelum disumbat ke dalam beg pakaian dan dicampak ke longkang malah hasil pemeriksaan dijalankan mendapati organ dalaman tiada.

Sedangkan penemuan itu sebenarnya berlaku pada 9 Ogos 2014 membabitkan mayat seorang wanita berusia 20-an dipercayai dibunuh dengan kejam di lokasi lain, menggunakan objek tumpul.

Beg zipnya berkunci mangga serta diikat tali itu ditemui seorang pekerja sebuah kedai perabot berhampiran sebelum melaporkannya kepada polis.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 8:37pm
d