mutakhir

Konvoi terakhir dua beradik

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LULUH hati seorang wanita apabila adik yang membonceng motosikalnya ketika berkonvoi, maut selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 270.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Nilai, malam tadi.

Sumber berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, Nor Tiara Alias, 22, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang kakaknya, Nor Erlian, 24, dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan.

Katanya, dua beradik terbabit dipercayai berkonvoi dari Kuala Lumpur menuju ke Seremban bersama rakan yang menunggang dua lagi motosikal berkuasa tinggi, sempena meraikan Hari Malaysia.

“Siasatan awal mendapati, ketika berada di lorong kanan lebuh raya, motosikal dinaiki dua beradik itu bergesel dengan sebuah lagi motosikal lain sebelum kedua-dua mereka tercampak di atas jalan.

“Penunggang wanita hanya cedera ringan, namun adiknya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu turut terjatuh, namun hanya cedera ringan.

Mayat mangsa yang berasal dari Bagan Pinang, Port Dickson, dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 10:07am
d