mutakhir

Stesen MRT ditutup seketika akibat gas bocor

Oleh Fazrik Kamarudin

STESEN Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Selamat, Jalan Welfare, Sungai Buloh, terpaksa ditutup 30 minit ekoran kebocoran saliran gas di kawasan pembinaan berhampiran stesen itu, petang semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor yang menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu turut mengesahkan tiada mangsa terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.09 petang sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian.

Katanya, seramai sembilan anggota diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hazrin Zulkifli, bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh.

“Kami terima panggilan kecemasan mengenai saliran gas berdiameter 20.32 sentimeter bocor di sebuah tapak pembinaan dan pasukan yang dikerah ke lokasi kejadian kemudian mendapati pihak Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) sudah berada di lokasi kejadian.

“Anggota bomba ditempatkan di lokasi untuk memastikan kerja penutupan injap gas dilaksanakan oleh pasukan Gas Malaysia dalam keadaan selamat dan tiada mangsa terbabit dalam insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hazrin berkata, pihaknya turut mengarahkan supaya stesen MRT ditutup buat sementara bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, selepas kerja penutupan injap itu selesai, stesen itu kembali beroperasi seperti biasa.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 1:13pm
d