mutakhir

Mah pula letak jawatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DATUK Seri Mah Siew Keong hari ini mengumumkan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Ia berikutan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Mah berkata, hasrat itu sudah lama diketahui ramai dan beliau beberapa kali diminta supaya tidak berbuat demikian.

“Tiga atau empat bulan lalu, ada banyak rayuan daripada ahli supaya saya terus menjadi presiden, namun sebagai kapten yang sudah berjanji (akan letak jawatan) jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, saya tetap letak jawatan.

“Saya ucap terima kasih pada semua dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan GERAKAN Negeri Sembilan ke-43 di Wisma GERAKAN di Seremban, hari ini.

Pada PRU-14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Parti itu kemudian mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menjadi parti bebas pada 23 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Mah berkata, presiden baharu akan dilantik selepas ini melalui proses pemilihan yang akan dijalankan.

Sementara itu, beliau turut menafikan ramai ahli GERAKAN meninggalkan parti selepas kekalahan teruk pada PRU-14.

"Kita ada kira-kira 300,000 ahli dan yang keluar parti itu tidak ramai. Malah, Setiausaha Agung (Datuk Liang Teck Meng) beritahu saya (ahli) yang masuk parti kali ini lebih ramai daripada yang keluar," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pendirian GERAKAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, beliau berkata, parti itu belum membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon bertanding atau tidak.

“GERAKAN sekarang sudah menjadi parti bebas, tapi kita dapatkan beberapa pandangan dahulu sebelum memuktamadkan keputusan kerana kita ada lebih 2,000 ahli di Port Dickson yang layak mengundi,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 3:39pm
d