mutakhir

Maut terlanggar serpihan lampu jalan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LELAKI maut apabila terjatuh selepas motosikalnya melanggar serpihan lampu daripada tiang lampu jalan yang tumbang akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 278 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Nilai, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi berhampiran Plaza Tol Nilai itu, Muhammad Syahril Amri Sulaiman, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Jurucakap polis berkata, terdahulu, sebuah Toyota Hilux dinaiki empat beranak warga Thailand terbabas lalu merempuh tiang lampu di tepi lebuh raya berkenaan menyebabkan mereka mengalami kecederaan ringan.

“Beberapa kenderaan di belakang mereka yang tidak sempat mengelak kemudian melanggar tiang lampu itu yang tumbang di atas jalan, namun hanya menyebabkan kerosakan kecil pada kenderaan.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh selepas motosikalnya hilang kawalan akibat terlanggar serpihan lampu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 4:22pm
d