mutakhir

[UPDATE] Dia dah balik bersama keluarga - JKM

Oleh Mary Victoria Dass

BUDAK perempuan yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sumbang mahram bapa saudara, di sebuah hotel di Johor Bahru, Khamis lalu, berada dalam keadaan baik.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai, Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu kini tinggal bersama keluarganya.

Beliau berkata, pihaknya ada membuat lawatan ke rumah kanak-kanak berkenaan, pada kelmarin dan semalam.

“JKM mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tidak menghadapi sebarang tekanan,” katanya kepada NSTP.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian, bapa saudara dipercayai membawa keluar kanak-kanak berkenaan.

Katanya, pada masa itu, bapa budak itu sudah keluar bekerja di sebuah ladang.

“Ibu kanak-kanak itu dikatakan memberi kebenaran kepada lelaki berkenaan atas dasar percaya," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Iskandar berkata, selepas diselamatkan, kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah, Khamis lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada kaunselor JKM dan jika perlu dirujuk ke pakar psikiatri.

"Ibu kandung menyatakan masih mampu untuk menjaga kanak-kanak itu dan akan ke JKM jika berdepan sebarang masalah," katanya.

Dalam kejadian 9.15 pagi pada 13 September lalu, budak itu diselamatkan polis selepas pekerja hotel bertindak menghubungi polis.

Ia selepas pekerja berkenaan curiga dengan lelaki berkenaan yang mencurigakan.

Pemeriksaan polis mendapati seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan hanya memakai tuala.

Berita berkaitan

Kantoi 'check-in' hotel dengan budak 10 tahun

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 6:10pm
d