mutakhir

Ngok ngek ngok ngek… kenapa? - Anwar

Oleh BERNAMA

KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti agar memilih pemimpin yang setia meneruskan perjuangan dalam pemilihan PKR kali ini, dan bukan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri.

Anwar berkata, ahli PKR perlu menyedari parti itu dibentuk kerana agenda reformasi dan membela rakyat.

“Jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 penyokongnya pada program ‘Jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Wilayah Persekutuan’, hari ini.

Anwar turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu dalam PKR yang mempertikai keputusannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Sedangkan, katanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menyokong penuh keputusan berkenaan.

“Bila saya buat keputusan nak bertanding di PD (Port Dickson), (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng sokong saya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun sokong, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu juga sokong, tapi dalam parti (PKR), ngok ngek ngok ngek… kenapa?

“Saya nak katakan, kita dah bincang dengan semua orang yang boleh bagi pandangan, jadi keputusan ini telah dibincang,” katanya.

Anwar juga menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang mahu beliau menyingkir orang-orang tertentu dalam parti sebagai syarat sokongan pada PRK Parlimen Port Dickson.

“Ada orang beritahu saya, parti ini aman kalau saya pecat orang ini, orang itu. Kalau nak sokongan di PD, buang orang ini. Saya kata, kalau kau tak tidak mau sokong saya di PD, saya tidak peduli," katanya disambut sorakan penyokongnya.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 8:49pm
d