mutakhir

'Char kuetiau' RM1 tapi....

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

BAGI memeriahkan sambutan Hari Malaysia, pengusaha restoran menjual menu 'char kuetiau' pada harga istimewa RM1 kepada pelanggan yang memakai pakaian atau aksesori berlambangkan Jalur Gemilang, hari ini.

Pemilik King's Char Kuey Teow yang terletak di Jalan Pantai, Port Dickson, Aizat Zulhailie Abu Bakar, 30, berkata program jualan khas itu bermula jam 4.30 petang hingga 11.59 malam ini.

“Pelanggan yang memakai pakaian atau aksesori seperti topi dan bandana Jalur Gemilang hanya perlu membayar RM1 sahaja bagi menu berkenaan sedangkan harga asal adalah RM5.50.

“Walaupun mengalami kerugian, namun saya tidak kisah kerana ini adalah cara saya memeriahkan sambutan Hari Malaysia, sekali gus memupuk dan menyemai sifat cinta negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, apa salahnya saya berkorban sedikit keuntungan dengan meraikan pengunjung yang peka dan bersemangat meraikan Hari Malaysia,” katanya.

Katanya, sehingga jam 6 petang tadi, seramai 162 pelanggan sudah menikmati menu terbabit pada harga RM1.

“Saya menyasarkan 500 pelanggan dapat menikmati tawaran ini. Kami mengalu-alukan lebih ramai orang hadir dengan memakai pakaian melambangkan Malaysia malam ini,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menampilkan kumpulan Saelunk Buskers untuk menghiburkan pengunjung dengan lagu patriotik bagi meraikan sambutan Hari Malaysia.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 9:29pm
d